Hudud

VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud

Bangunkan Islam sebelum laksana hudud Oleh Shamsul Muda

Bicara al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang ‘Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini’ yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.

Garis panduan tersebut-yang dirumuskan daripada pengamatan beliau terhadap pendekatan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum hudud-sangat penting dari segi menyatukan pandangan umat Islam hari ini dalam soal kaedah perlaksanaan hukum tersebut.

Atau paling kurang, merapatkan jurang perselisihan pandangan berhubung soal ini.

Trend semasa wacana hudud di negara ini memperlihatkan, pihak-pihak yang memperkatakan tentang perlaksanaan hukum hudud atau yang berusaha melaksanakannya, kurang memberi perhatian terhadap kaedah atau pendekatan yang digunakan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum itu.

Trend ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pelebaran jurang perbezaan pendapat berhubung soal ini.

Merujuk kepada kaedah Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Qaradhawi telah mengetengahkan satu fakta, yang barangkali boleh ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.

Fakta itu menyatakan, ‘sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.

Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat ‘perlaksanaan hudud’ sebagai ‘agenda teratas’ dalam sesebuah negara Islam.

Penegasan ini sebaliknya menuntut sesebuah Negara Islam, melaksanakan hukum hakam Islam dan tuntutan-tuntutan Islam yang lain terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah untuk melaksanakan hukum hudud.

Gambaran yang jelas tentang kuantiti hukum hakam dan tuntutan-tuntutan Islam ini boleh diperolehi melalui tinjauan ke atas pembahagian ulama terhadap jenis-jenis hukum hakam Islam.

Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk, iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan perbuatan manusia.

Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).

Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).

Pembahagian ini memperlihatkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.

Sementara kedudukannya dalam ‘jadual’ perlaksanaan pula ialah pada kedudukan atau tertib terakhir, seperti yang telah dinyatakan Qaradhawi.

Pandangan Qaradhawi ini turut dikongsi oleh Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib, seorang tokoh terkenal pergerakan Ikhwanul Muslimin masa kini, yang juga merupakan pengarang Risalah al-Ta’lim, Syarh Usul al-‘Isyreen dan lain-lain.

Dengan ungkapan yang jelas, Muhammad Abdullah al-Khatib mengatakan,”hudud dalam Islam…datang pada [kedudukan] penghujung [proses] pensyariatan [hukum] kerana Islam lebih prihatin terhadap tangan manusia [daripada dipotong akibat mencuri], kehormatan, hak milik dan kehidupan mereka keseluruhannya”.

Justeru, beliau menolak dakwaaan sesetengah pihak yang mengatakan perlaksanaan hukum hudud berada pada kedudukan teratas dalam ‘jadual perlaksanaan Islam’ berbanding hukum hakam yang lain.

Beliau menyatakan, “[hukum] hudud sebagaimana yang kamu lihat dengan syarat-syaratnya yang ketat, dan dengan [syarat] menyediakan keperluan-keperluan asas kepada setiap individu umat ini [sebelum melaksanakannya], datang pada [kedudukan] penghujung hukum hakam [Islam dari segi perlaksanaan], bukannya pada permulaannya, seperti yang didakwa sesetengah [pihak]”. (Lihat http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=82931&SecID=391)

Qaradhawi bagaimana pun tidak pula menyatakan dengan jelas, dalil yang menjadi asas kepada pandangan beliau ini. Namun, boleh difahami daripada bicara beliau ketika diwawancara oleh setesen satelit, al-Jazeera pada 10 Januari 2011 itu, dalilnya ialah waktu turun ayat-ayat yang memerintahkan perlaksanaan hukuman-hukuman hudud, iaitu zina, qazaf, mencuri, dan hirabah.

Menurut beliau, ayat-ayat tersebut-yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud- adalah antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan dari segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini dari segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama dari segi perlaksanaan.

Oleh sebab itu, beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan [hukum] hudud, beri makan [terlebih dahulu] kepada orang yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih [para] pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan [hukum] hudud”.

Bagi menyokong pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hudud ini, Qaradhawi juga dilihat berdalilkan dengan hakikat bahawa Islam tidak beria-ia mahu menghukum manusia yang melakukan kesalahan hudud. Hakikat ini adalah jelas kerana amalan Nabi SAW dan hadis-hadis Baginda sendiri menyatakan hal ini.

Jika demikian, umat Islam perlulah bergerak seiring dengan amalan Nabi SAW dari segi mengelak mengenakan hukuman hudud, meskipun ke atas orang yang datang membuat pengakuan secara sukarela.

Ini boleh dilakukan dengan berusaha menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong manusia melakukan kesalahan hudud, seperti desakan, tekanan dan keperluan hidup.

Dari sinilah, perlunya hukum hakam Islam berkaitan kewajipan menjaga kebajikan rakyat, sifat kebersamaan dan apa sahaja yang menjurus ke arah penghapusan dorongan-dorongan jahat itu, didahulukan sebelum dilaksanakan hudud.

Dengan berbuat demikian, umat Islam telah bergerak seiring dengan amalan Nabi dari segi berusaha mengelak sedaya mungkin daripada mengenakan hukum hudud ke atas pesalah.

Kesimpulannya, kaedah perlaksanaan hukum hudud-seperti yang dijelaskan oleh Qaradhawi-ialah mendahulukan perlaksanaan Islam secara keseluruhan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu.

Justeru, dalam keadaan perlaksanaan Islam secara menyeluruh ini belum selesai dalam sesebuah Negara Islam, hudud bukan sahaja tidak dilaksanakan, bahkan tidak juga diwartakan sebagai undang-undang Negara yang boleh dilaksanakan, sehinggalah urusan perlaksanaan Islam secara menyeluruh tadi selesai dijayakan.

Demikianlah yang difahami daripada penjelasan dan kenyataan-kenyataan Qaradhawi yang turut disokong oleh Muhammad Abdullah al-Khatib, yang disertakan petikannya dalam tulisan ini.

Pemahaman ini nampaknya selaras dengan tindakan Syaidina Umar r.a menangguhkan perlaksanaan hukum hudud secara total pada musim kelaparan, meskipun di kalangan rakyatnya tentu ada orang yang kaya atau berada yang terselamat daripada bencana kelaparan tersebut.

Tidak ada pula pihak yang membantah tindakan beliau itu dengan berhujjah bahawa hukum hudud perlu diteruskan seperti biasa, dengan membebaskan orang yang sabit mencuri disebabkan kelaparan dan mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang terbukti mencuri bukan kerana desakan kelaparan.

Syaidina Umar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau menangguhkan perlaksanaan hudud di musim kelaparan secara total.

Syaikh Qaradahwi, dengan pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hukum hudud ini, sesungguhnya telah membuat satu anjakan penting dalam diskusi dan wacana hudud, iaitu membuka perbincangan berkenaan aspek berkaitan hukum hudud yang tidak dibincangkan secara serius di negara ini, iaitu kaedah perlaksanaan hukum hudud dalam masyarakat.

Semoga dengan pandangan tokoh besar Islam ini, wacana hudud di negara ini tidak terus dikurung atau dilihat dikurung dalam skopnya yang lama, yang hanya berlegar di sekitar kewajipan melaksanakan hukum hudud, keadilan hukum hudud, kesesuaiannya dalam masyarakat majmuk dan seumpamanya.

ANDAIKU TAHU

Surah Al-Mukminun Ayat 99 hingga 100.ِ
(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),َ
agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

Ayat di atas menyatakan bahawa orang kafir dan golongan yang rugi iaitu mereka yang beragama Islam tetapi tidak beramal solleh menyesali dengan apa yang mereka telah lakukan.

DOA BERLINDUNG DARI SYAITAN.

Pagi ini sejuk dan letih. Jam pukul 7.50pg. Perut sudah keroncong. Aku mencapai Al-Quran ms 348 surah 23 Al-Mukminun Juz 18 ayat 97 dan 98. Sungguh cantik sekali doa yang Allah beri. Sila rujuk yang bermaksud

“Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku” – hafal dan amallah anak-anakku.

Ms 349 surah yg sama ayat 118 Allah menyuruh kita berdoa yg bermaksud “Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkau-lah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!”

NIKAH DAN KAHWINLAH

Subuh ini tanggal 16 Sept. 2014 aku membaca Surah 24 An-Nur Juz 18 mukasurat 354 ayat 32 hingga 33. Sila rujuk Al-Quran. Maksud ayat dari Mashaf Tajwid terjemahan oleh Sheikh Abdullah Basmeih terbitan Darul Fikir berbunyi “Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu,dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu,lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin,Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya),lagi Maha Mengetahui. Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin,hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya……”

Maka berkahwinlah. Adakah anda yakin dengan janji Allah?

SIAPAKAH KITA SEKARANG INI ???

Tadi diruangan kerjaku, kami berbincang banyak perkara. Ada yang banyak cakap. Ada yang beremosi. Ada yang diam. Tiba-tiba seseorang yang tadinya tidak respon dengan sembang kami mengeluarkan suara keras. Aku pelik dengan kita ni. Bukan semua orang pakar semua perkara. Kita ni tak habis-habis ikut yahudi. Tu anak muda kita termasuk yang tua, diasyikkan main futsal waktu maghrib dan subuh. Orang kita buka gelanggang futsal, budaya tu orang yahudi yang bawa. Banyak lagi yang aku geram, orang kita buat.

Ketika itu aku teringat hadis nabi riwayat al-Baihaqi bermaksud : Akan hampir satu zaman kepada manusia (yang ketika itu) tidak tinggal lagi pada Islam melainkan namanya sahaja, tidak tinggal lagi daripada Al-Quran melainkan tulisannya, masjid-masjid mereka tersergam indah namun ia runtuh (sunyi) daripada hidayah.

Semua golongan asyik sembang-sembang cerita artis, filem, drama, sukan, politik kurang ajar sampai bertengkar-tengkar. Sebaliknya majlis ilmu sunyi, yang tinggal hanya orang yang biasa ada, sebahagian besar mencari tiang atau dinding tempat berpaut. Apa jadi dengan orang kita yang menganut Islam tetapi rasa sudah cukup ilmu dan amalannya dengan gelaran ISLAM yang dipakai. Kalau orang kata kafir, tak tahulah lentingannya. Memang tidak siapa yang tahu siapa kita atau kamu.

Didalam hadis riwayat Muslim nombor 2669 bermaksud : Akan tiba suatu hari, kamu akan mengikut jejak langkah (perbuatan dan cara hidup) umat-umat trrdahulu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang dhab (sejenis biawak) sekalipun nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya lagi, “Ya Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab,”Siapakah lagi kalau bukan mereka?”

Inilah dua golongan yang diiktiraf sebagai perosak. Siapa yang tahu. Kata-kata kita penuh carut, lucah, dusta dan sembrono. Kita jauh dari berpegang kepada adab dan akhlak Islam. Jangan jadi orang rugi. Allah telah beri nikmat yang banyak. Adakah kita menjadi orang yang bersyukur?

Akhirnya renungilah maksud Surah al-Isra’ 17 ayat 70 hingga 72: Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut.

UMRAH

Di hadapan meja kerjaku terlekat gambar timbul kaabah. Setiap kali aku menatapnya, aku terasa beserta disitu. Setiap tahun ada sahaja sahabat dan kerabatku ke sana. Aku telah 2 kali kursus haji bersiri anjuran tabung haji. Aku hanya diberikan tarikh mengerjakan haji pada tahun 2018-insyaAllah.

Umrah pertama,  ibadat wajib yang ramai keliru dengannya. Ramai kata “buat umrah ni sunat aje”. Itulah kata yang keluar dan terpaksa saya jawab untuk membetulkannya. Kebetulan semasa persoalan itu timbul aku memegang buku Budaya Haram terbitan CAP Pulau Pinang. Aku jelaskan bahawa yang pertama wajib, yang berulang-ulang itu sunat. Nah bacalah penjelasan yang lain buku Budaya Haram mukasurat      dibawah tajuk Umrah.

Sejak kebelakangan ini memang ramai pergi umrah, seorang-berdua-sekeluarga. Alhamdulillah orang tidak kedekut untuk ibadat. Allah yang beri rezki dan adakah patut kita berkira untuk Allah? Ada yang sudah banyak kali pergi umrah. Katanya “Aku haji sudah, umrah udah 6 kali”. Baruni ustaz kata tak perlu pergi lagi, lebih baik duit itu disedekah kerana ramai yang memerlukan. Alhamdulillah itu ilmu yang baik menerjah hatinya. Dia seorang yang ok, bawa isteri melancong ke Vietnam, Bali, Bandung, Cina dll. Dalam negara tak terkiralah. Itulah juga keadaannya kebanyakkan rakan-rakanku, berduit-tidak kedekut-melancong.

Kalau ramai begini tentu pondok-pondok tahfiz dan pengajian, rumah anak yatim, maahad dan madrasah tiada masalah kerana ramainya golongan berduit dan pemurah. Pergi melancong mesti berwang dan rela, kalau tidak bukan senang nak jadi.

Begitulah negaraku mula tumbuh dan berkembangnya tempat pengajian Islam dan mendapat sambutan. Mula banyaknya pembelaan golongan fakir miskin dan anak yatim. Pengasas semua tempat itu bersusah payah dapatkan sumbangan yang akhirnya berjaya membuka tempat jihad ini. Jihad kerana jutaan wang untuk melahirkan para tahfiz, ulama dan pembelaan golongan yang wajib dibela.

Satu ketika di Lekir sebuah pondok pengajian dan anak yatim dibiaya oleh para kontraktor. Juga satu ketika sebuah pondok yang tanahnya diwakafkan oleh sibapa tetapi kemudian dituntut oleh sang anak sebanyak RM350000 beres masalahnya melalui kutipan daripada orang ramai malah kutipannya melebihi jumlah target. Diingatkan harta wakaf haram dituntut semula-itu kata ustaz semasa pengajian dimasjid.

Itulah mungkinnya orang sudah banyak duit dan tidak bakhil. Siapa?, hatiku semacam bersoal sendiri. Aku tidak jawab sendiri soalan ini. Aku cuma berkira-kira, aku sendiri tidak banyak menyumbang untuk pengorbanan dan perjuangan melalui harta. Ate siape gamaknya? Entahlah, kalau kita boleh keluarkan wang untuk dunia kita, takkan kita berkira untuk menyahut seruan Allah dan RasulNya. Kan pelaburan akhirat itu lebih menguntungkan – kerana Allah. Hisablah diri kita sendiri dan jawablah soalan ini dengan ikhlas. Jangan bertangguh untuk beramal kerna tiada yang dapat menjamin dirinya disini esok?